November 10, 2009
Mana-mana pun sama...
Itu satu perumpamaan. Dalam menegakkan dan mempertahankan Islam, di mana sahaja, siapa saja, pasti ada cabaran-cabarannya. Cuma berbeza dengan keadaan. Contohnya, pada zaman Rasulullah dahulu, ketika itu masih belum wujud teknologi moden seperti sekarang, perjalanan orang-orang terdahulu amat sukar, ambil masa. Pendakiannya tidak semudah yang kita fikirkan.
Tetapi dalam keadaan serba moden ini, sepatutnya lagi menyenangkan kita melaksanakan perintah-perintah Allah. Tetapi jangan ambil mudah, lagi senang, lagi cepat manusia lupa, lagi cepat merasa serba cukup. Melaksanakan sambil lewa, mungkin. Atau langsung merasakan apa yang diperintahkan Tuhan tidak valid untuk diaplikasikan di zaman ini.
Sesungguhnya manusia diuji. Diuji dengan kesusahan, dan juga dengan kesenangan. Seperti berkayuh tadi, bila kayuhan mendaki, ujiannya sudah pasti kepayahan dalam memerah tenaga hingga berpeluh-peluh untuk tiba di puncak. Tenaga keupayaan bila berada ditempat tinggi adalah sama dengan jumlah beban dan ketinggian dan graviti. Cabarannya ditambah lagi dengan panas, udara yang semakin nipis, kaki yang hampir-hampir cramped.
Tetapi bila di puncak, sebelum kayuhan menuruni bukit, cabarannya mempertahankan momentum kayuhan. Masa ini lah nak tukar gear, bersedia untuk menghadapi kelajuan yang agak tinggi menuruni bukit.
Dan, ketika menuruni, nampak macam best, tapi cabarannya lagi besar. Mempertahankan kesenangan menuruni dengan halaju yang tinggi, drag dari geseran angin yang laju, juga keselamatan [belum lagi dikira kalau ada kereta atau lori di hadapan yang kejap-kejap brek, kejap-kejap brek! Huh, mencabar sungguh!] Tanpa disiplin yang tinggi mana mungkin keselamatan dapat dipertahankan. Mana mungkin kesenangan dapat dikekalkan.
to be cont'd...
August 20, 2009
Sukati Pak Kaduk...
Pak Kaduk kata, arak haram dan memabukkan,
Bahaya kalau mabuk bila memandu,
Pak Kaduk saman kalau ada org mabuk memandu,
Pak Kaduk tak suka kawan-kawan mabuk,
Tapi Pak Kaduk jual arak.
Pak Kaduk jual rokok,
Pak Kaduk kata, rokok bahayakan kesihatan,
Pak Kaduk tampal gambar,
Gambar ngeri,
Pak Kaduk mahu kawan-kawan sihat,
Anak isteri sihat,
Tapi Pak Kaduk jual rokok.
Pak Kaduk jual tikam-tikam,
Pak Kaduk marah kalau anak-anak main tikam-tikam,
Pak Kaduk tak suka bazirkan wang,
Kalau selalu main belum tentu selalu menang,
Lebih baik simpan dalam amanah saham,
Untuk masa akan datang,
Tapi Pak Kaduk jual tikam-tikam.
Pak Kaduk ternak babi,
Pak Kaduk tahu babi haram,
Pak Kaduk tahu babi ada kuman virus,
Pak Kaduk suruh kawan-kawan jaga kebersihan,
Basuh tangan bersih-bersih,
Pakai topeng kalau batuk selsema,
Pak Kaduk mahu kawan-kawan sihat,
Tapi Pak Kaduk ternak babi.
Kasihan Pak Kaduk,
Pak Kaduk tahu tapi Pak Kaduk buat tak tahu,
Suka-suka hati Pak Kaduk rasa suka hati,
Sukatila Pak Kaduk...
kalau berkalau, babi pun boleh terbang. tapi sekarang takde kalau-kalau dah, babi dah terbang di udara dah pun...heheh!
August 5, 2009
Baca-baca,,
July 2, 2009
Ada apa dengan tie?
"Ada apa dengan tie? Barat? Kecil je tu. Bagaimana dengan ideologi Barat yang kau sanjung-sanjung selama ni? Fahaman demokrasi barat yang kau ikut selama ni? Mengapa yang itu kau boleh terima?" Dijawab bersahaja.
June 10, 2009
Opick - Rapuh
detik waktu terus berjalan
berhias gelap dan terang
suka dan duka tangis dan tawa
tergores bagai lukisan
seribu mimpi berjuta sepi
hadir bagai teman sejati
di antara lelahnya jiwa
dalam resah dan air mata
kupersembahkan kepadaMu
yang terindah dalam hidup
meski ku rapuh dalam langkah
kadang tak setia kepadaMu
namun cinta dalam jiwa
hanyalah padaMu
maafkanlah bila hati
tak sempurna mencintaiMu
dalam dadaku harap hanya
diriMu yang bertahta
detik waktu terus berlalu
semua berakhir padaMu
See the video: Opick-Rapuh
May 22, 2009
Kisah seorang anak yang duka nestapa...
Suatu hari, lalulah seorang pelancong asing yang kebetulan sedang mencari tandas awam untuk melepaskan hajat. Sampai sahaja di simpang itu, dia memerhatikan papan tanda tersebut, cuba membaca tapi tak dapat memahami perkataan yang tertulis. Ditolehnya kanan dan kiri. Kelihatan ramai orang dan banyak kereta yang menuju ke arah kiri. Sangkanya pasti jalan ke kiri itu menuju ke pekan. Lantas dia dengan yakinnya mengambil jalan kiri untuk meneruskan pencarian tandasnya. Tetapi, setelah jauh berjalan, tiada juga tercapai matlamatnya. Jangankan tandas awam, stesen minyak pun tak ada... Sedih... sedih... Hehehe...
Tidak lama kemudian, lalulah pula seorang pelancong tempatan, yang bukan berasal dari negeri itu. Dia tak berapa mahir tentang kawasan tersebut. Pun jua, sedang mencari tandas. Bila tiba di simpang tersebut, dilihatnya papan tanda itu, dia tidak yakin dengan petunjuk itu, memandangkan keadaannya terlalu buruk dan seolah-olah telah lama diaabaikan. Dilihatnya juga dari kejauhan, jalan kiri seperti menuju ke pekan, kerna ramai menuju ke situ. Jadi, atas dasar yakinnya dengan arah itu, dia mengagak jika mengambil jalan kiri pasti akan ketemu tandas. Tetapi nasibnya sama juga dengan pelancong asing tadi.
Petang sedikit, lalu pula seorang pelancong tempatan yang lain. Juha mencari tandas awam [ramai pulak yang lalu kat kawasan ni untuk cari tandas... heheh!]. Sampai di simpang tersebut, dibacanya petunjuk itu. "Tandas awam, 200m, kanan," Dilihat kearah kiri, ramai menuju ke situ. Tapi fikirnya, "Mungkin betul petunjuk ini."
Lalu, atas dasr keyakinannya pada petunjuk itu, dia segera mengambil jalan kanan. Selepas 200m perjalanannya, ketemu juga pelancong ketiga ini dengan tandas awam. Lalu fikirnya, "Sesungguhnya, benarlah petunjuk itu." Makanya, matlamatnya tercapai... Habis cerita.
May 5, 2009
YA MAHU, TAPI SANGGUP?
Bila ditanya, mahukah melihat dunia ini aman? Mahu.
Bila ditanya, mahukah melihat Islam tertegak? Mahu.
Ditanya lagi , mahukah bersama-sama tegakkan ajaran Allah? Mahu.
Kemudian ditanya pula, tahukah bagaimana nak laksanakan ajaran Ilahi? Tak tahu.
Lalu diajarkan.
Lantas bila diminta untuk dilaksanakan, banyak yang dipertikaikan kan.
Bantah.
Itu tak betul, ini tak kena.
Yang ini susah, yang itu payah.
Komplain, nak semua sempurna saja.
Tanya lagi, betul-betul mahu lihat satu dunia sejahtera seperti dulu? Ya, sudah pasti.
Betul-betul mahu lihat Islam itu sempurna? Betul-betul.
Tapi kenapa tak mahu bila diminta sama-sama perbuat agar dia sempurna? Senyap.
Kenapa rasa susah lagi payah? Diam.
Kalau tak sanggup katakan tak sanggup. sanggup... [perlahan]
Betul sanggup? SANGGUP.
Kalau mulut kata mahu, tapi diri keseluruhan tak sanggup, lupakan saja kemahuan itu.
Carilah yang mana rasa sesuai dengan hidupmu. Yang mana selesa.
Yang mana boleh menjamin kesejahteraan seluruhnya...
~Kalau sudah sempurna, pasti sudah aman.~
April 28, 2009
HUKUM
Kamu: Bicara aturan, ketetapan Allah. Apa yang Aku tau tentang ketetapan Allah?
Aku: Hmm... ketetapan Allah adalah apa yang dah ditetapkan oleh Allah.
Kamu: Apa yang dah ditetapkan Allah?
Aku: Err... rasanya apa yang dah termaktub dalam kitabNya kot?
Kamu: Betul la tu. Kenapa ada kot-kot pulak? Memang itu yang dah ditetapkan.
Aku: Heheh...
Kamu: Cuba Aku fikirkan, matahari dan bulan beredar mengikut perhitungan. Aturan siapa tu?
Aku: Err... aturan Allah?
Kamu: Benar. Air sungai yang mengalir dari hulu ke hilir, ikut ketetapan siapa?
Aku: Ketetapan Allah?
Kamu: Benar. Err... apa lagi. Hmm... kalau batu tepi jalan kita sepak dengan kaki, dia melantun ke depan, betul tak?
Aku: Betul... betul...
Kamu: Hukum siapa tu?
Aku: Hukum Allah?
Kamu: Ye ke? Bukan hukum Newton ke?
Aku: Ha ah la, hukum Newton... Eh...? [alamak!]
April 23, 2009
Pisang oh Pisang!
Teringat satu kisah dalam majalah Bujal, masa zaman budak-budak dulu...
Kisahnya si Bujal ni anak pekebun pisang. Bila sampai musim pisang kat kebun bapa dia, makanya hari-hari mak dia sediakan bekal ke sekolah makanan yang pisang-based. Kebetulan kawan-kawan dia pun (agaknya banyak sangat pisang kat umah) bawak bekalan makanan pisang-based. Agaknya mereka ni sekampung memang majority pekebun pisang kot...
Satu pagi, on the way nak ke sekolah bersama kawan-kawannya, si Bujal ni merungut la kat kengkawan dia ni.
"Aku bosan la, hari-hari mak aku bekal kan pisang. Pisang goreng la, lepat la, cekodok la... (banana split je mak dia tak reti buat... agaknya!) pisang, pisang, pisang... bosan!"
Lalu salah seorang kawannya, Halim pun berkata, "Kau jangan merungut Bujal. Kau kena ingat dan sedar, ayah kita pekebun pisang. Kita kena la bersyukur, ada jugak la makanan yang mak kita bekalkan. Ada jugak la makanan. Cuba kau tengok orang sebelah tu, hari-hari makan tulang buat... (ah! merepek dah!)" kata si Halim.
Si Bujal ni memang terkenal dengan nakalnya (macamana la majalah budak nakal ni boleh keluar kat pasaran...). Lantas dia pun membantah la si Halim tu. Sebelum sampai kat sekolah, dia singgah la kat satu gerai tepi jalan, beli nasi lemak. Beli sampai dua pulak tu, tamak betul!
Dengan lagaknya dia berkata, "Hari ni aku nak makan nasi lemak. Dah bosan sangat makan pisang... yang ni aku kasi kat kau kalau kau nak!" (belagak betul la budak ni!) Lalu diberinya bekalan pisang rebus bersama kelapa gula yang mak dia bekalkan pada pagi tu pada Pian, kawan dia seorang lagi.
Sampai kat sekolah, seperti biasa diletakkannya nasi lemak dalam plastik merah tu kat belakang kelas. Semua murid buat begitu. Kelas berjalan seperti biasa...
Kriiiinnnggg! Waktu rehat pun tiba. Uiissh.. apa lagi semua murid bergegas la ambik makanan kat belakang kelas, berkejar ke kantin (lapar punya pasal la ni..!). Yang si Bujal ni pulak dengan tak sabar-sabarnya nak makan nasi lemak pun bergegas ke belakang.
Tengok-tengok nasi lemak dia dah bersemut. Dua-dua bungkus pulak tu! Muka berkerut... Haa padan muka! Cam nak nangis pun ada.
"Alamak, aku punya nasi lemak dah kena hurung dek semut la! Kurang asam punya semut! Fuuh! Fuuh!" sampai muncung-muncung mulut si Bujal ni nak ngalau semut-semut tu. Ala, semut tu mana makan saman kalau setakat tiup-tiup ni... semut halus lak tu!
Halim dan Pian yang ada kat situ senyum je la. "Itu lah kau, Bujal. Kau belagak sangat, Tuhan balas kat kau cash je. Kau tak bersyukur dengan rezeki Tuhan, kau tak ikhlas dengan rezeki Tuhan. Tengok sekarang ni nasi tu nampaknya dah jadi rezeki semut-semut tu... kau marah-marah semut tu, bukan salah dia pun. Memang fitrah dia hurung nasi lemak tu. Kau tu je yang langgar fitrah kau... tak bersyukur," Fuh, sedap je si Bujal ni kena dengan Halim.
Menyesal jugak la si Bujal tu. (Kejap tu je la, sebab keluaran bulan depannya dia nakal lagi!). Akhirnya Pian offer la si Bujal tu dengan pisang rebus bersama kelapa gula yang ada la org tu bagi kat dia pagi tadi. Dengan muka malu tak malunya Bujal pun terpaksa la makan pisang tu, share ngan Pian. Halim pun offer dia pengat pisang mak dia bekalkan.
Maka, untuk kesekian kalinya si Bujal ni makan pisang. Hehehe... sekian!
Moralnya: Terkadang mengada bila tak ada, terkadang mengada bila tak jumpa...
April 15, 2009
Pohon Dan Baja Pohon II
Menanam pokok memang mudah. Tapi nak menjaganya payah. Cuma apa yang penting, penjagaan bahagian akarnya. Atas dasar kasih sayang kita pada pokok yang ditanam, setiap hari kita akan menyiramnya. Mungkin dua minggu sekali kita membajanya. Apapun zat-zat itu akan diserap oleh bahagian akar pokok. Makanya, untuk pokok itu terus hidup dan segar, akarnya perlu kuat. Kerna, dibahagian itu yang diharapkan untuk menyerap semua zat, lalu disalurkan ke bahagian-bahagian lainnya.
Bahagian lain pokok itu (batang, daun, bunga, buah), mungkin sekali-sekala kita trim, buang daun-daun buruk, cantas dahan atau ranting mana yang patut. Yang pastinya itu caranya menjaga pokok.
Sama seperti manusia, dalam mencari dan menguatkan generasi penerus. Untuk terus kuat dalam melaksanakan syariat Tuhan yang penting adalah kuatkan ikatan mereka (dan kita sendiri) dengan Allah, juga ikatan kita sesama manusia. Kerna, ikatan itu adalah tunjang Islam dan dengan kuatnya ikatan itu, manusia akan merasakan kasih sayang Allah juga sesama manusia. Akan dirasakan bahawa ilmu Allah itu satu bentuk sayangNya Allah pada manusia itu.
Natijahnya nanti, akan cantik dan baiklah cabang-cabang dan dahan-dahan ibadah dengan ilmu yang dikatakan rahmat Allah itu. Dan pastinya membuahkan hasil yang lumayan! Dengan itu, akan tercapai matlamat untuk "menegakkana ad Deen, dan tidak berpecah-belah tentangnya".
April 13, 2009
Tiada yang sia-sia...
Tiada yang sia-sia bagi kita
segala yang kita dengar
kita lihat, kita rasa
penuh dengan sesuatu
Langit biru
tidak sia-sia
Langit mendung
tidak sia-sia
Langit diperah lalu hujan
tidak sia-sia
Bumi hijau
tidak sia-sia
Tanah kering
tidak sia-sia
Banjir, tanah runtuh, terbelah
tidak sia-sia
Yang didengar, dilihat, dirasa
itu semua mengajar, mendidik
Yang mengajar itu satu pelajaran
Yang mendidik itu satu pendidikan
Aku...
aku juga tidak diciptakan dengan sia-sia
aku rasakan aku dimiliki
aku disayangi
aku rasakan aku dipilih
Mengapa aku dihidupkan di bumi?
aku tahu mengapa
Siapa aku di sisiNya?
aku tahu siapa
Apa tanggungjawabku di sini?
aku tahu apa
Aku belajar dari Dia
Aku belajar dari diri aku
Aku belajar dari alam
Apa lagi?
Kamu,
Kamu juga bukan sia-siaan
Kamu sesuatu,
Kamu seseorang,
Jika kamu tahu mengapa, siapa dan apa tugasmu di sini
Makanya,
kita syukuri
apa yang kita dengar, lihat dan rasa itu
dapat kita fikirkan
agar kita mengerti
Tiada yang sia-sia...
February 17, 2009
Tegakkan Tiang
"Dialah yang telah mengutus RasulNya (dengan membawa) petunjuk (Al-Quran) dan agama yang benar untuk dimenangkanNya atas segala agama, walaupun orang-orang musyrikin tidak menyukai." [At Taubah:33]
Tetapi, pernahkah kita bertanya, bagaimanakan Islam akan bangkit? Dengan cara apakah agama Allah itu ditegakkan? Siapakah orang-orangnya yang akan membawa Islam itu ke arah kemenangan?
"Dan katakanlah: "Yang benar telah datang dan yang batil telah lenyap." Sesungguhnya yang batil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap." [Al Israa':81]
Ramai yang tahu yang haq pasti menang, yang bathil pasti akan kalah. Mana mungkin yang bathil itu menang. Tapi banyak yang sekadar tahu, yakin atau tak belum tentu. Ada pulak yang yakin, tapi hanya "sabar menunggu" kebangkitan itu, kemenangan itu, tanpa ada rasa mahu bersama-sama bangkit dan membangkitkan. Menang dan memenangkan. Mungkin sekadar yakin menang, atau mungkin kerana yakin menang tapi masih belum yakin dengan jalan/cara yang ada. Atau terserah saja pada sesiapa yang mahu melakukannya. "Janji, akhirnya menang!"
Ada lagi pula yang mahu berbuat, tetapi tidak didasari dengan satu jalan yang bukan sekadar betul, tapi benar. Mungkin terkeliru dengan jalan itu atau memang main redah saja jalannya sebab rasa-rasanya betul sudah.
Jadi, bagaimana sebenarnya cara terbaik untuk kita tegakkan Islam supaya agama Allah ini dapat dimenangkan, dapat dizahirkan di atas muka bumi ini?
Cuba bayangkan kita mahu menegakkan tiang-tiang untuk membina rumah. Bagaimana nak menegakkannya supaya rumah yang terbina nanti kukuh dan selamat untuk diduduki?
Pertama-tama sekali perlu ada orang yang betul-betul mahu melaksanakan tugas itu. Kalau tiada, masakan tiang akan tertegak sendiri? Kalau satu tiang kecil mungkin seorang saja boleh ditegakkan. Tapi kalau tiang-tiang itu besar dan banyak? Pastinya memerlukan ramai orang yang bersama-sama menegakkannya. Perlu ada strategi terbaik supaya dapat mengurangkan beban dan mengurangkan jangkamasa. Dan nak menegakkan tiang-tiang itu perlu ada ilmunya. Mana boleh semberono sahaja. Kena tahu dimana lokasinya, berapa tinggi tiang itu, berapa jarak antara satu sama lain.
Masing-masing perlu tahu fungsi diri, siapa yang akan menahan tiang, siapa yang akan menariknya supaya berdiri. Belum lagi dikira siapa yang akan menyediakan minuman untuk pentegak-pentegak tiang ini ketika rehatnya.
Bila diterjemahkan dalam menegakkan agama Allah, perlu ada orang yang betul-betul mahu melaksanakannya. Masakan Islam itu akan tertegak dengan sendirinya? Dan Islam bergerak dengan cara berjemaah. Kalau hanya seorang atau dua-tiga orang sahaja, mungkin tidak cukup kuat, dan mungkin memakan masa yang begitu lama. Jadi, perlu ada strategi terbaik supaya dapat memudahkan perlaksanaan, dapat mempercepatkan jangkamasanya. Dan, dalam menegakkan agama Allah, aspek paling penting ialah setiap diri itu perlu ada ilmunya. Kalau tidak, bagaimana semuanya terlaksana. Ibadah itu perlu ada ilmunya. Ilmu itu datangnya dari Allah. Ilmu itu ada di dalam Kitab Allah (Al Quran).
Mungkin ramai yang tidak perasan tentang ilmu Allah ini. Atau dah tahu tapi tidak mahu mengambilnya sebagai hak orang Islam. Ataupun tahu tapi sengaja buat tak tahu demi kepentingan sendiri (atau mungkin demi poket sendiri?).
"Al Quran ini adalah pedoman bagi manusia, petunjuk dan rahmat bagi kaum yang meyakini." [Al Jaatsiyah:20]
Kita kata kita mengambil Al Quran sebagai petunjuk, manual. Tapi bagaimana kita memperlakukannya Al Quran itu sepertimana yang kita katakan itu? Bagaimana kita mendapat rahmat dengan Al Quran?
Diri kita tidak akan berfungsi jika kita tidak tahu bagaimana nak mengfungsikannya dengan Al Quran, petunjuk itu tadi. Al Quran juga tidak akan berfungsi jika kita sendiri tidak tahu bagaimana cara mengfungsikannya. Akhirnya, kita takkan tahu bagaimana nak menegakkan agama Allah jika kita dan Al Quran tidak berfungsi.
Selebihnya, BACA, PERHATIKAN, FIKIRKAN...
February 2, 2009
Jalan
Tiada jalan tengah membahagi
Jalan kanan penuh duri
Ada bukit perlu didaki
Jalan yang kering lagi sunyi
Jalan kiri dihias bunga
Kolam air menanti di sana
Musafir lalu hilang dahaga
Kanan bersinar cahaya
Semua nampak nyata
Tiada yang sia-sia
Kiri cahaya dusta
Fatamorgana di tanah rata
Bayangnya tiada makna
Menanti di hujung kanan
Satu sinar ketetapan
Syurga indah milik Tuhan
Menanti di hujung kiri
Kesesatan sudah pasti
Seburuk-buruk tempat kembali
Jalan mana yang engkau ambil
Hujung mana yang engkau tuju
Akhiran mana yang engkau harap
Tiada paksaan atas pilihanmu
Kerna telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat
January 27, 2009
TAHU DIRI, PERCAYA DIRI
(Teruntuk diriku)
Diri kamu itu
haruslah tegar untuk dididik
harus disucikan
harus disuntik dan diajar dengan ilmu milik Tuhan
Diri kamu itu
perlu ada anjakan
yang bisa merobah fahamanmu
yang bisa merobah kedudukan kamu
yang bisa membawa kamu ke atas
menjadi bintang di langit luas
walau kecil tetap bersinar
biar chahaya sedikit
tetap menunjuki jalan musafir
Diri kamu itu
perlu tahu diri kamu
perlu percaya diri kamu
yang berdiri di bumi Tuhan
yang berpendirian aturan Tuhan
yang tekad mendirikan syariat Tuhan
Diri kamu itu
yakin menangkan diri kamu
January 26, 2009
Bagaimana Jalannya?
Kata-kata sebegitu mungkin pernah kita dengar dari orang-orang sekeliling kita.
Untuk merealisasikan sistem Islam di muka bumi ini, kita harus berpegang/berprinsipkan 2 perkara iaitu, Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya.
Sabda Rasulullah saw:
"Kutinggalkan untuk kamu dua perkara pusaka, tidaklah kamu akan tersesat selama-lamanya selama kamu masih berpegang kepada keduanya, (yaitu) Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya,"
Jelas disitu jaminan yang Rasul dah beri kepada umatnya.
Firman Allah: "Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya." [An Nisaa':59]
Apa yang penting di sini adalah bila mengaku beriman kepada Allah, maka wajiblah seseorang itu kembali kepada perintah Allah dan melaksanakan seperti apa yang telah diturunkan kepada kita melalui kitab-kitabNya. Yang paling hampir dan paling benar dengan kita adalah Al Quran. Maka kembali kepada Al Quran.
Jika mengaku beriman kepada Rasul, maka kembali kepada Rasul, dengan melaksanakan apa yang telah Rasul-rasul terdahulu laksanakan iaitu melaksanakan perintah Allah seperti dalam Kitab-kitabNya.
Kita sebagai yang mengaku Islam, wajib tidak berpaling dari Al Quran.
Bagaimana jalan untuk merealisasikan sistem Islam ialah dengan ber Al-Quran. Dan ambil sikap seperti sikap Rasulullah. Menyampaikan (tabligh) dan melaksanakan perintah Allah dengan benar (siddiq) dan amanah (amanah) dengan cara yang bijaksana (fathonah).
Satu formula dari Allah:
"orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah dengan harta, benda dan diri mereka, adalah lebih tinggi derajatnya di sisi Allah; dan itulah orang-orang yang mendapat kemenangan." [At Taubah:20]
Formula kemenangan ini Allah sudah beri kepada manusia, Rasul-rasul terdahulu telah melaksanakannya, tinggal kita saja, yang mengaku umat Nabi Muhammad masih berkira-kira untuk melakukannya.
Mengaku beriman tetapi masih berkira-kira untuk melaksanakan Al Quran, masih berkira-kira untuk berhijrah dari fahaman kebanyakan orang [Al An'aam:116] dan nenek moyang [Al Baqarah:170] kepada fahaman dengan mahunya Allah [Al An'aam:106], masih teragak-agak untuk berhijrah dari fahaman ideologi kemanusiaan kepada ideologi Allah. Juga masih teragak-agak untuk berjihad dengan harta yakni mengeluarkan harta, serta apa pun yang ada pada kita demi mendokong sistem Allah, sistem Islam dan masih tidak mahu mengubah diri, berjihad dengan diri yakni bersungguh-sungguh melaksanakan perintah Allah.
Jika kita tidak berkira-kira dengan semua itu, pasti Allah tinggikan darjat Islam di muka bumi, lantas memenangkan sistem Islam itu di atas sistem-sistem yang lain yang ada.
Tetapi jika kita hanya mengaku beriman sahaja tetapi tiada sikap yang diambil dan hanya merasa selesa denga apa yang ada, apa yang digunapakai, tiada perlaksanaan yang sebenar-benarnya, maka apakah hasilnya?
Memang benar, pertolongan Allah itu ada, tetapi apa pertolongan kita kepada agama Allah? Apa sumbangan kita yang mengaku hamba Allah kepada Tuhan kita yang Maha Pemurahnya Dia telah memberi bermacam-macam nikmat? Sedangkan nikmat paling utamaNya adalah Al Quran? Adakah sumbangan kita itu hanya sekadar menderma kepada badan-badan atau organisasi pentegak Islam? Atau sekadar membayar zakat setiap tahun?
Selebihnya kita sendiri harus fikirkan, barulah "tepuk dada, tanya iman." Jalannya hari-hari kita minta pada Allah dalam solat, paling kurang pun 17 kali sehari. Jalannya sudah ada, tinggal kita sendiri yang memutuskan samada masih berkira-kira atau tidak untuk mengambilnya.
Firman Allah swt:
"Maka terhadap nikmat Tuhanmu yang manakah kamu ragu-ragu?" [An Najm:55]
January 14, 2009
SYURGA ITU
jika kau mencari keredupan
syurga itu untukmu
jika kau mencari kehijauan
syurga itu tempatmu
jika kau mencari kedamaian
syurga itu menantimu
jika kau mencari ketenangan
syurga itu kau tuju
untuk kau yang sentiasa mencari
ilmu Tuhan yang memiliki
mengharap rahmatNya
mengejar sayangNya
dalam menakluk jiwa manusia
mengajak mereka ke sana
kau diajar berbicara
satu bahasa satu fahaman
satu dasar jadi ketetapan
yang mengikat setiap jiwa dengan sang pencipta
satu-satu jadi serumpun
menuju ke syurga itu
mengagungkannya
meluaskannya
mengimarahkannya
setelah sekian lama ia sepi...
January 7, 2009
Fisik Chahaya
(penterjemahan ilmu dalam bentuk chahaya : ilmu suluh hidup)
dia itu chahaya
konsep yang memberi
bukan menyerap kembali ke punca
bergerak dalam halaju yang laju
beda mengikut medium
lurus ke semua arah
dia bisa dipantulkan
terarah ke lain
mengikut sudut permukaan
cembung dia mencapah
cekung dia menumpu
seluas-luas dia pada matahari
terangkan semesta alam
sumber makanan si tumbuhan
dibawanya bersama haba
menyejat zarah-zarah air
zarah-zarah itu dibawa ke atas
berarak, berkumpul
bertindih di langit
berbeban lalu hujan
rahmat keseluruh alam
secepat-cepat dia pada kilat
sekali terpancar, begitu terang
lalu dengan pantas hilang
hampir gelap penglihatan
saat kritikal
saat penuh takut dan penuh harap
dia pada api
kecil menjadi teman
terang lagi tenang
bila besar dan marak
semangat dia cuma sekejap
lalu terpadam, langsung gelap penglihatan
bila dia dihalangi
hasilnya bebayang
satu keluasan yang gelap
lagi dekat halangan dengan puncanya
lagi besar keluasan gelap
segaris dia
dibias terpancar membahagi
menghasilkan dia-dia pelangi
berlapis-lapis jalur beda warna
beda fungsi dan frekuensi