February 17, 2009

Tegakkan Tiang

Bila berbicara tentang agama Allah (Islam) akan tertegak di akhir zaman, ramai yang bersetuju dengan itu. Ramai yang tahu dengan kebangkitan dan kemenangan Islam. Maka, ramailah yang akan berasa selesa dan seronok mendengarnya kerana di akhir zaman Islam pasti bangkit. Ya, itu janji Allah. Dalam Al Quran Allah berjanji untuk memenangkan agamaNya ini, walau pun ada orang-orang yang tidak menyukainya.

"Dialah yang telah mengutus RasulNya (dengan membawa) petunjuk (Al-Quran) dan agama yang benar untuk dimenangkanNya atas segala agama, walaupun orang-orang musyrikin tidak menyukai." [At Taubah:33]

Tetapi, pernahkah kita bertanya, bagaimanakan Islam akan bangkit? Dengan cara apakah agama Allah itu ditegakkan? Siapakah orang-orangnya yang akan membawa Islam itu ke arah kemenangan?

"Dan katakanlah: "Yang benar telah datang dan yang batil telah lenyap." Sesungguhnya yang batil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap." [Al Israa':81]

Ramai yang tahu yang haq pasti menang, yang bathil pasti akan kalah. Mana mungkin yang bathil itu menang. Tapi banyak yang sekadar tahu, yakin atau tak belum tentu. Ada pulak yang yakin, tapi hanya "sabar menunggu" kebangkitan itu, kemenangan itu, tanpa ada rasa mahu bersama-sama bangkit dan membangkitkan. Menang dan memenangkan. Mungkin sekadar yakin menang, atau mungkin kerana yakin menang tapi masih belum yakin dengan jalan/cara yang ada. Atau terserah saja pada sesiapa yang mahu melakukannya. "Janji, akhirnya menang!"

Ada lagi pula yang mahu berbuat, tetapi tidak didasari dengan satu jalan yang bukan sekadar betul, tapi benar. Mungkin terkeliru dengan jalan itu atau memang main redah saja jalannya sebab rasa-rasanya betul sudah.

Jadi, bagaimana sebenarnya cara terbaik untuk kita tegakkan Islam supaya agama Allah ini dapat dimenangkan, dapat dizahirkan di atas muka bumi ini?

Cuba bayangkan kita mahu menegakkan tiang-tiang untuk membina rumah. Bagaimana nak menegakkannya supaya rumah yang terbina nanti kukuh dan selamat untuk diduduki?

Pertama-tama sekali perlu ada orang yang betul-betul mahu melaksanakan tugas itu. Kalau tiada, masakan tiang akan tertegak sendiri? Kalau satu tiang kecil mungkin seorang saja boleh ditegakkan. Tapi kalau tiang-tiang itu besar dan banyak? Pastinya memerlukan ramai orang yang bersama-sama menegakkannya. Perlu ada strategi terbaik supaya dapat mengurangkan beban dan mengurangkan jangkamasa. Dan nak menegakkan tiang-tiang itu perlu ada ilmunya. Mana boleh semberono sahaja. Kena tahu dimana lokasinya, berapa tinggi tiang itu, berapa jarak antara satu sama lain.

Masing-masing perlu tahu fungsi diri, siapa yang akan menahan tiang, siapa yang akan menariknya supaya berdiri. Belum lagi dikira siapa yang akan menyediakan minuman untuk pentegak-pentegak tiang ini ketika rehatnya.

Bila diterjemahkan dalam menegakkan agama Allah, perlu ada orang yang betul-betul mahu melaksanakannya. Masakan Islam itu akan tertegak dengan sendirinya? Dan Islam bergerak dengan cara berjemaah. Kalau hanya seorang atau dua-tiga orang sahaja, mungkin tidak cukup kuat, dan mungkin memakan masa yang begitu lama. Jadi, perlu ada strategi terbaik supaya dapat memudahkan perlaksanaan, dapat mempercepatkan jangkamasanya. Dan, dalam menegakkan agama Allah, aspek paling penting ialah setiap diri itu perlu ada ilmunya. Kalau tidak, bagaimana semuanya terlaksana. Ibadah itu perlu ada ilmunya. Ilmu itu datangnya dari Allah. Ilmu itu ada di dalam Kitab Allah (Al Quran).

Mungkin ramai yang tidak perasan tentang ilmu Allah ini. Atau dah tahu tapi tidak mahu mengambilnya sebagai hak orang Islam. Ataupun tahu tapi sengaja buat tak tahu demi kepentingan sendiri (atau mungkin demi poket sendiri?).

"Al Quran ini adalah pedoman bagi manusia, petunjuk dan rahmat bagi kaum yang meyakini." [Al Jaatsiyah:20]

Kita kata kita mengambil Al Quran sebagai petunjuk, manual. Tapi bagaimana kita memperlakukannya Al Quran itu sepertimana yang kita katakan itu? Bagaimana kita mendapat rahmat dengan Al Quran?

Diri kita tidak akan berfungsi jika kita tidak tahu bagaimana nak mengfungsikannya dengan Al Quran, petunjuk itu tadi. Al Quran juga tidak akan berfungsi jika kita sendiri tidak tahu bagaimana cara mengfungsikannya. Akhirnya, kita takkan tahu bagaimana nak menegakkan agama Allah jika kita dan Al Quran tidak berfungsi.

Selebihnya, BACA, PERHATIKAN, FIKIRKAN...

February 2, 2009

Jalan



Ada dua jalan diberi

Jalan yang kanan atau yang kiri

Tiada jalan tengah membahagi


Jalan kanan penuh duri

Ada bukit perlu didaki

Jalan yang kering lagi sunyi


Jalan kiri dihias bunga

Kolam air menanti di sana

Musafir lalu hilang dahaga


Kanan bersinar cahaya

Semua nampak nyata

Tiada yang sia-sia


Kiri cahaya dusta

Fatamorgana di tanah rata

Bayangnya tiada makna


Menanti di hujung kanan

Satu sinar ketetapan

Syurga indah milik Tuhan


Menanti di hujung kiri

Kesesatan sudah pasti

Seburuk-buruk tempat kembali


Jalan mana yang engkau ambil

Hujung mana yang engkau tuju

Akhiran mana yang engkau harap

Tiada paksaan atas pilihanmu

Kerna telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat