October 12, 2010

Saya yang dirokokkan...


Saya tidak merokok.


Iya, saya tidak dan tidak pernah merokok secara langsung. Tetapi saya adalah perokok secara tidak langsung. Dari saya kecil, atmosfera saya mengandungi oksigen, nitrogen, karbon dioksida, gas-gas nadir dan juga gas asing yang mengandungi carcinogen. Zaman ketika saya belajar, bekerja dan sehingga saya menjadi pengajar, masih lagi keadaan yang sama. Sungguh, saya amat kurang selesa.

Atmosfera di institut tempat saya bekerja juga tidak bersih. Di sini, ramai pelajar yang merokok. Bukan tidak pernah ditegur, pernah. Sudah penat ditegur. Cuma tiada cara yang berkesan langsung untuk hentikan tabiat ini melainkan menegur secara lisan atau tegur dengan saman. Tetapi saya amat tahu, perokok yang tegar tidak akan dan tidak akan pernah menerima teguran sebegitu. Ayah saya dahulu seorang perokok tegar dan pernah juga saya menegurnya malah pernah saya berikan dia satu artikel berkenaan bahan-bahan kimia dalam rokok yang merbahaya. Itu yang dipanggil carcinogen, bagi kamu yang masih tidak mengerti.

Apa tindakbalasnya? Dia mengatakan bahawa artikel [atau penulisnya] itu menipu. Sehinggalah dia berhenti merokok dan diserang penyakit jantung. Itulah hasil "penipuan" artikel tersebut.

Apapun tidak 100% hukum ini harus diletakkan ke atas pelajar. Kerna di institut ini juga, sebahagian pendidiknya juga adalah perokok. Bukan itu sahaja, di bahagian pentadbiran dan pengurusan juga ada perokok. Itulah didikannya. Manusia fitrahnya adalah belajar dengan proses akal, yakni, pendengaran, penglihatan dan hatinya. Maka, apa yang disekelilingnya, itulah pelajaran. Bukan sahaja di dalam buku tetapi diluar buku. Bukan sahaja di dalam kelas, tetapi juga di luar kelas. Maka, kalau namanya pendidik, apa yang ditunjukkan, itulah didikannya. Salah siapa? Siapa yang membimbing anak-anak, yakni generasi kita kepada sesuatu yang tidak sihat dan membazir? Siapa yang meracuni generasi kita kalau bukan yang digelar pendidik tadi.

Jika kamu seorang yang digelar pendidik yang merokok [guru, pensyarah, ibubapa] membaca tulisan ini, mungkin kamu akan marah dengan saya. Malah mungkin kamu akan cuba cipta satu alasan bagi membenarkan kesilapan yang kamu lakukan sekarang [walaupun kamu tahu keburukannya akan datang]. Sama seperti apa yang ayah saya lakukan satu ketika dulu. Kamu akan mengatakan saya menipu.

Dan jika kamu adalah seorang pelajar, anak atau yang sedang dibimbing, kamu pasti agak puas hati kerna kamu rasa pendidik kamulah yang bersalah dalam hal ini. Atau, kamu juga pasti punya alasan bagi membenarkan perkara ini. Tetapi kamu harus ingat, suatu hari nanti kamu akan menjadi ibu, bapa, atau pengajar yang bertanggungjawab untuk mendidik generasi kamu. Jika itu sikap kamu sekarang, maka kamu awal-awal lagi sudah melakukan kesilapan yang sama dengan pendidik sebelum kamu. Awal-awal lagi kamu meracun generasi kamu. Lagi teruk, bukan? Dan sekali lagi, pastinya kamu mengatakan saya menipu.

Ironik sekali bila dalam solat kita setiap hari kita memohon kepada Tuhan agar dikurniakan rezeki yang banyak, kesihatan yang baik, umur yang panjang. Tetapi, dalam berdoa, masih ada yang merokok, membawa carcinogen, racun pembunuh ke dalam badan. Masih ada yang menyebarkan carcinogen ke atmosfera, meracun semua makhluk yang bernafas. Lalu, menjadikan makhluk-makhluk itu lemah, pendek nafasnya, tidak mampu bekerja dengan baik - rezekinya dengkel. Bukankah itu yang ditegah oleh Tuhan? Apakah Dia juga kita katakan menipu? Oh, fikirkanlah semula.

Ia pasti akan berulang, jika masih tegar.

Juga harus diingat, bagi yang tidak merokok seperti kamu, mereka juga hampir sama seperti seorang perokok, malah lebih teruk. Yang teruk adalah kesannya pada tubuh. Hal ini, akan kamu tahu lebih lanjut di kemudian hari. Apabila kamu sudah mempunyai pasangan, anak dan keluarga. Makanya nanti, tidak perlu pembunuh luar untuk membunuh ahli keluarga kamu, kerna kamu sendiri mampu membunuh mereka.

Ia pasti akan berulang, jika masih tegar.

Tegar itu degil, degil itu ingkar. Maka fikirkanlah.

You may have heaven now. But, only now...

February 1, 2010

Pujangga

"Bukan Islam melainkan dengan jemaah,
Bukan jemaah melainkan dengan pemimpin,
Bukan pemimpin melainkan dengan ketaatan,
Bukan ketaatan melainkan dengan bai'ah."

~~Umar al-Khattab~~