July 15, 2008

Lebih Pada Kepentingan Sendiri...


Di manakah kedudukan sebenar ayat-ayat suci Al Quran? Adakah ayat-ayatnya kita ambil hanya sekadar dibaca sebagai ubat ketenangan jiwa? Atau dibaca untuk dihembuskan di dalam air sebagai penawar sesuatu penyakit? Atau untuk menghalau hantu? Adakah itu yang Allah mahu apabila Dia menurunkan Al Quran? Adakah sebegitu mudah dan murah kita mengambil Al Quran ini?

"Dan berimanlah kamu kepada apa yang telah Aku turunkan (Al Quran) yang membenarkan apa yang ada padamu (Taurat), dan janganlah kamu menjadi orang yang pertama ingkar kepadanya, dan janganlah kamu menukarkan ayat-ayat-Ku dengan harga yang rendah, dan hanya kepada Akulah kamu harus bertakwa." [Al Baqarah, 2:41]

Aku terfikir, bila orang lain bakar, buang atau buat sesuatu yang kurang enak dilihat ke atas Al Quran kita, kita marah. Kita bising. Kita ban orang itu. Tapi adakah kita benar-benar mensucikan Kitab Allah itu? Cuba kita umpamakan kita ini adalah kerengga yang mengerumuni buah rambutan di hujung dahan. Kerengga-kerengga itu marah bila ada orang nak memetik buah yang dijaganya itu. Lantas digigitnya tangan-tangan yang mengganggu itu. Tetapi adakah pernah kerengga-kerengga itu merasai nikmat kemanisan buah rambutan itu? Kita menjaga sebaiknya Kitab kita, tetapi adakah kita benar-benar merasai nikmat terbesar Al Quran itu?

Kita tahu Al Quran ini isinya adalah wahyu yang merangkumi kepelbagaian. Segala permasalahan, perselisihan perlu dirujuk melaluinya. Semua perkara.

"Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal. Al Quran itu bukanlah cerita yang dibuat-buat, akan tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya dan menjelaskan segala sesuatu, dan sebagai petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman." [Yusuf, 12:111]

Segala sesuatu. Segala urusan perlu didasari dengan Al Quran. Bukan sekadar nak jadi kaya, nak murah rezeki, nak anak cantik dan pandai. Tetapi, cara hidup, sistem-sistem perundangan, ekonomi, pendidikan, pemerintahan dan sebagainya juga perlu dari Al Quran. Sesungguhnya manusia suka mengambil mudah. Al Quran dan Islam itu bukan magic-magic, bukan sihir yang nyata. Al Quran diturunkan dengan segala macam cerita, untuk difikirkan dan diambil pengajaran dan pelajaran, then ambil sikap. Bukan sekadar dibaca-baca, dilagu-lagukan.

"Dan Kami tidak mengajarkan syair kepadanya (Muhammad) dan bersyair itu tidaklah layak baginya. Al Quran itu tidak lain hanyalah pelajaran dan kitab yang memberi penerangan." [Yaasiin, 36:69]

Kalau Al Quran dibacakan tetapi tidak faham apa perintah-perintah Allah itu, apalah gunanya? Umpama kita mengikut atau menghafal lagu-lagu Latin, tetapi sepatah pun kita tak faham. Entah arahan yang keras ke, entah sindiran ke, entah apa-apa lah.

Apalah nasib anak cucu kita nanti kalau mereka lahir dalam zaman yang tidak Islam (sejahtera) kalau kita tidak mensejahterakan bumi Allah ini dengan Al Quran. Kalau bukan sekarang kita laksanakan, bila lagi? Nak tunggu orang lain buat? Siapa? Di mana? Sekarang zaman bertindak, bukan zaman menunggu lagi. Kalau rasa tertindas, bangkit lah. Jangan tunggu sampai parah baru nak beringat. Janganlah berangan-angan dengan Al Quran dengan mengambil sebahagian ayat-ayatnya untuk kepentingan diri sendiri.

"(Pahala dari Allah) itu bukanlah menurut angan-anganmu yang kosong dan tidak (pula) menurut angan-angan Ahli Kitab. Barangsiapa yang mengerjakan kejahatan, niscaya akan diberi pembalasan dengan kejahatan itu dan ia tidak mendapat pelindung dan tidak (pula) penolong baginya selain dari Allah." [An Nisaa', 4:123]

Kita nilai semula, adakah ibadah yang kita laksanakan menurut fahaman kita dan orang kebanyakan telah mensejahterakan bumi Allah ini. Ibadah yang kita laksanakan sepatutnya bukan untuk kepentingan kita sahaja, tetapi semua umat manusia, tak kira bangsa. Allah juga telah menyuruh kita melaksanakan tanggungjawab kita secara jemaah, dalam satu barisan yang tersusun kukuh. Bukan sorang-sorang.

"Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh." [Ash Shaff, 61:4]

Yeah, yang kita nampak di situ berperang. Kita sedang berperangkah? Perang yang bagaimana? Berperang dalam menegakkan agama Islam, cara hidup Islam, yang sejahtera. Jadi, perlu dilaksanakan secara beramai-ramai. Bukan ambil ayat untuk dapatkan kebaikan untuk diri sendiri.

Jadi, bila bicara nak ubah cara hidup, pendapat saya inilah cara hidup yang sempurna, yang adil, bukan untuk kita sahaja, malah untuk seluruh umat manusia yang ada di atas muka bumi milik Allah ini. Kalau kita rasa cara hidup sekarang dengan sistem yang digunapakai sekarang ini tidak memberi kesejahteraan dan keadilan pada kita, mengapa tidak kembali kepada cara hidup yang lebih haq dari Allah?

1 comment:

nazirul mubin said...

mari kita menuju syurga nya..berkiblatkan yang merahmatka alam